Pengakuan suami curang
Nor Khalilah Gusti Hassan
November 16, 2014
Pengakuan suami curang
PAGI ini, emel saya diketuk seorang pembaca yang meminta namanya
dirahsiakan untuk berkongsi kisah rumah tangga.Kisah ini wajar dijadikan
pedoman buat para isteri yang merasa cukup bahagia dengan layanan
romantis suami. Usah terlalu merasa bahagia, jika anda sendiri belum
mempercukupkan diri untuk si dia. Selama
ini, dia tidak menyangka sungai rumah tangganya yang beralun lembut,
aman damai, tenang di permukaan telah bergolak hebat di dasarnya, tanpa
sedar...
Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak
ketawa ceria... malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang
menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.
Suami selalu
membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang
selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak
sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali
gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup
kesalahan...
Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta.
Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya
tembelang pun pecah.
“Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!”
Ya ALLAH... saya terduduk dengan pengakuan itu... kenapa janda? kenapa
bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya... apa salah
saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba
menongkah tapi saya pantas menepis.
Tiada kekuatan untuk saya
teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk
mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat
sunat dan mengadu padaNYA.
Ya... Saya ingin mengadu... air mata
saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan
berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya. Dia merangkul pinggang
saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali. Dia minta saya
ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah
kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.
Ya ALLAH,
sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan... S-aya ingin menetak
suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh.
Saya kuatkan hati untuk bertanya...
“Berapa kali?”
“Banyak...”
“Sejak bila?”
“Sejak Mah mengandung Adan...”
Ya ALLAH... enam tahun lalu... kini Adan dah ada dua adik...
“Tak kahwin?”
“Tidak... abang sayangkan Mah...”
“Sayang?”
“Ya...”
“Ini tanda sayang?”
Soalan saya terbiar tanpa jawapan...
Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus
rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya. Mata ini tidak
berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam.
Air mata tak mahu berhenti...
Minta terus terang
Saya
minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan
perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa
kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya. Suami menggelengkan
kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang
saya mahu keluar dari rumahnya.
“Sepuluh tahun abang...
sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah
tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah
sendiri... abang tak bahagia dengan Mah... Abang cari lain-
“Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik... tak ada
kurang satu pun... Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka
tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan
abang...”
Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan
dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di
kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah
bila saya terlelap langsung tak pasti.
Subuh lagi saya sudah
bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia
bangun seperti tiada apa-apa berlaku. Di hadapan anak-anak kami cuba
berlagak biasa. Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke
sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat
ia hendak berlaku, saya palingkan muka. Saya tak mahu bibir yang pernah
mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut
lagi.
Surat jadi penyebab
Saya tutup pintu dan saya
menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca.
Saya tahu itu pengakuan suami. Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari
kekuatan untuk membacanya. Dan isi surat suami, betul-betul buat saya
rasa tertampar. Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali
menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda
juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya
menerima dan memaafkannya.
Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik... yang baik... dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa...
Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat...
abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang
semula. Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk
putuskan hubungan. Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang
terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang
terkhilaf...
Mah...
Abang jenguk Mah di bilik anak.
Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan.
Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis. Mah tak sedar
betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar
telah buat cinta abang berpaling.
Sumpah Mah! Sumpah abang rasa
bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum
anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah
tak jaga keperluan batin abang.
Kita kenal sejak sekolah. Sejak
Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping,
tinggi, bermata galak dan menggoda. Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah
biarkan kecantikan Mah hilang. Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah
busuk di sebalik tudung... kaki Mah bengkak dengan lemak... badan Mah
berbau bila abang balik kerja. Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah
sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak
bermaya. Abang lemah tengok Mah lemah... Abang bagi Mah duit untuk Mah
bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah
tak gunakan untuk merapikan diri?
Mah abang tak pandang pakaian
atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang
kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh
dan wajah Mah. Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula
abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu?
Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita
sama-sama belajar dan bekerja dulu? Abang sungguh malu nak bercakap
tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki
rumah tangga kita, abang luahkan... dan Mah terimalah dengan lapang
hati.
Mah... Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa
tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda. Dia menjaga setiap inci
yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit. Abang
minta ampun. Abang menyesal... Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang
untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan
yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona. Abang
rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup
abang... abang tidak mampu menghalang.
Abang berdosa dengan Mah. Mah
berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan.
Ampunkan abang... abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu
bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala
hukuman. Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam... abang merayu
Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya
luar dan dalam... abang merayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan