Red Rose



Isnin, 11 November 2013

Di Uji Perceraian ..

Dulu, saya memahami perceraian adalah hal yang negatif secara mutlak. Bercerai? Kenapa bercerai? 

Tetapi dengan pengalaman dan usia yang bertambah ini, saya kian memahami bahawa hidup ini tidak selalu berakhir dengan episod hidup yang kita inginkan. 

Perceraian bukanlah perkara yang negatif atau buruk seluruhnya.

Perceraian itu, samaada positif atau negatif, sangat bergantung kepada respon/tindakan insan yang diuji. Bagaimana dia bersikap menghadapi perceraian, bagaimana mau berusaha, ridha dan menerima, mengambil pelajaran dan bangun memulai hidup baru.

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (2:216)

Ya, ia sakit. Perceraian sangat menyakitkan ketika itu terjadi, antara ujian paling menyedihkan untuk kehidupan insan. Setiap kita apabila menikah, dengan harapan mendalam agar ia berterusan selamanya, sebagai suami isteri ke akhir nyawa, ke syurga bersama.

Namun tatkala diuji dengan perpisahan, ingatlah bahawa ketetapan ALLAH itu ada banyak kebaikan darinya. Duka dan airmata itu akan terhapus.

InsyaALLAH akan ada ruang dan peluang untuk bertemu insan yang lebih baik. Dan diri kita sendiri akan menjadi suami/isteri yang lebih baik dari sebelumnya insyaALLAH- akan berpeluang melalui kehidupan berumahtangga yang lebih bahagia dari sebelumnya. Sabar dan percaya pada ALLAH lah yang mampu mengubat segala.

Dan sebelum mengambil keputusan bercerai, usahakanlah seluruh cara yang ada untuk perbaiki hubungan suami isteri. Minta nasihat orang yang amanah dan berilmu. Bantuan orang tengah untuk mendamaikan. Renungi kembali episod indah rumahtangga dan seluruh kebaikan pasangan.

Jujurlah memuhasabah kelemahan diri, di mana ruang untuk kita perbaiki diri dan rumahtangga. Berdoalah setulusnya pada ALLAH, mohon rahmat dan bantuanNYA kerana cinta kita selama ini, dan rumahtangga ini -ketenangannya dan keharmoniannya datang hanya dari ALLAH.

Perceraian adalah jalan terakhir. Pilihan terakhir setelah semua pintu tertutup untuk hidup bersama. Mudarat melampaui manfaat. Agar diri tidak terus dizalimi dan menzalimi pasangan.

Bersedihlah, ambillah masa untuk mententeramkan hati dan mencari kekuatan diri. Belajar dari ujian perceraian. Dan pada ALLAH lah tempat bergantung diri sewaktu rasa tidak berdaya untuk menghadapi hari seterusnya.

insyaALLAH, akan ada kehidupan lebih baik yang ALLAH gantikan. Sucikan peribadi, sucikan hati...

Salam hangat...♡ Upit ♡

Tiada ulasan:

Catat Ulasan